THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Thursday, May 29, 2014

Tittle Please~


Setiap orang mempunyai impian tersendiri. Ramai yang dapat mencapai impian mereka tetapi tidak kurang yang tersungkur di tengah jalan- impian retak seribu dan mereka diam dalam kekalahan sendiri. Aku juga mempunyai impian tersendiri.
Apa impianku?


Buat seketika, biarlah aku merahsiakan dahulu. Tapi aku benar-benar ingin menunaikan impianku, biarpun nyawa menjadi taruhan. Aku akan mencapainya dan aku tidak akan menjadi salah seorang dari mereka yang tewas.


Sejak dari kecil, aku mendengar perihal sekuntum bunga ros merah. Mengikut kata orang, setiap kelopak bunga ros itu mampu menunaikan impian orang yang menyentuhnya. Aku tidak pernah percaya akan semua khabar angin itu, sehinggalah aku berada dalam keadaan terdesak dan aku perlukan bunga itu.


Impian dan mimpiku dipertaruhkan. Aku keluar dari rumah dengan tekad yang membara- untuk mencari sekuntum bunga ros yang tidak aku ketahui rupanya. Mungkin seperti bunga ros biasa saja. Mungkin tidak. Tetapi naluriku kuat mengatakan aku akan berjumpa dengan bunga itu. Tidak! Aku harus mendapatkan bunga itu!


Hari itu, cuaca sungguh damai. Perjalanan aku dimulakan tanpa teragak-agak meskipun aku tidak pernah keluar dari kampungku sebelum ini. Aku berjalan menuju ke timur dimana terdapat sebuah gunung yang sentiasa dilaputi salji sepanjang tahun tanpa mengikut musim.


Di gunung itulah terletaknya bunga ros sakti. Tiada sesiapa berani pergi ke gunung itu kerana ramai yang telah kehilangan nyawa. Bagaimanapun, aku tidak peduli. Aku akan menawan gunung itu dan mendapatkan bunga ros itu walau apa pun terjadi.


*


Galen berjalan dengan kepala yang sesekali tertoleh-toleh ke kiri dan kanan. Orang ramai yang memenuhi pasar pagi tidak mempedulikan Galen yang kelihatan sedikit bingung. Sebenarnya jejaka itu berasa kagum. Tidak pernah seumur hidupnya dia melihat begitu ramai orang berkumpul di sebuah tempat.


Di kiri dan kanannya terdapat barisan kedai-kedai kecil yang menjual pelbagai barang. Ada yang menjual barangan basah, rempah ratus, kayu dan herba yang berbau aneh, sayur-sayuran hijau dan juga buah-buahan. Tidak kurang juga ada yang menjual pisau memotong daging yang berkilat-kilat dan senjata untuk berburu. Galen berhenti di mana-mana kedai yang menarik perhatiannya.


Orang-orang sekitarnya juga kelihatan asing di matanya. Dia tidak terkejut- ini bukanlah kampungnya. Ini ialah sebuah kampung yang dipanggil Valve. Kampung yang sangat terkenal kerana kekayaan kayu dan herbanya. Penduduk wanita dan gadis di ditu rata-rata memakai gaun kembang yang menyentuh buku lali dan apron putih berenda-renda. Lelaki pula memakai baju tanpa lengan dan kelihatan sangat gagah dengan peralatan memburu yang dibawa bersama mereka.


Bagaimanapun, penduduk Valve sangat lemah lembut dan menghormati orang luar. Mereka seperti dapat mengesan bahawa Galen bukanlah penduduk kampung ini. Sewaktu Galen berhenti di sebuah kedai untuk membeli buah-buahan, pemilik kedai itu memberikan dia harga istimewa kerana Galen ialah pengembara dan pengembara biasanya kekurangan duit. Galen berasa sedikit malu namun gembira dengan harga yang diberi kerana memang dia sedang kekurangan duit.


Sewaktu dia sedang duduk di bawah sebatang pokok, seorang gadis menghampirinya dengan langkah longlai. Gadis itu memakai jubah hitam panjang dan menutup rambutnya dengan hud. “Maafkan saya,” kata gadis misteri itu dengan suara menggeletar. “Bolehkah tuan memberikan saya sedikit minuman? Saya…”


Belum sempat gadis itu menuturkan perkataan seterusnya, dia jatuh terduduk dan Galen pantas menyambutnya. Gadis itu memandang tepat ke mata Galen dengan mata sayu. Galen dapat melihat wajah gadis itu dipenuhi calar dan bibirnya lebam berwarna biru. “Maaf,” ulang gadis itu dan Galen mula berasa sedikit kekok dengan posisi mereka. “A..air.”


“Ah, uh, ya air.” Galen tersedar dan mencapai botol air minumannya sebelem membantu gadis itu meneguk sedikit demi sedikit. Dia minum dengan kadar yang sangat perlahan dan tersedak setelah beberapa ketika.


Setelah hilang hausnya, gadis itu mengeluh lega dan Galen menghela nafas penat. Entah mengapa gadis itu membuatkan Galen berasa cemas. “Nama saya, Yoru.” Gadis itu memperkenalkan dirinya tanpa dipinta. “Saya sangat berterima kasih atas budi tuan.”


“Nama aku Galen.” Dia menghulurkan sebiji buah kepada Yoru dan gadis itu mencapainya. “Makanlah buah tu.”


“Terima kasih, Galen.” Yoru menyebut namanya dengan senyuman manis. Dia menurunkan hud yang menutupi rambutnya dan Galen kini dapat melihat wajah Yoru dengan jelas. Buat seketika Galen hanya diam merenung mata Yoru yang bulat dan kulitnya yang putih kemerahan. Anak matanya berwarna emas dan bibirnya kelihatan lembab. Hanya calar berserta luka kecil dan lebam biru mencacatkan wajah Yoru yang kelihatan seperti patung lilin. “Awak bukan orang kampung inikan?”


Galen tersentap dengan soalan Yoru dan segera memandang ke tempat lain Separuh hatinya cuba menyembunyikan perasaan malu kerana dia terkesima seketika dengan kecantikan gadis dihadapannya. “Ya. Aku..aku ialah seorang pengembara.”


“Pengembara?” Soal Yoru. Mulutnya sedikit kembung dengan buah yang dihulurkan Galen sebentar tadi. “Kemana awak akan pergi selepas ini?”


Galen tidak menjawab dengan lisan namun matanya bergerak ke arah timur, memandang sebuah gunung yang diselaputi warna putih. Yoru mengikut arah mata Galen dan memahami jawapan lelaki itu.


“Awak ingin mencari ros sakti itu?” Yoru menyoal dengan mulut yang terbuka luas.


Galen angguk. “Kau tahu tentang ros itu?”


“Tak ada sesiapa di Valve yang tak tahu tentang ros itu.” Yoru mengetap bibir. “Lupakan saja ros itu. Awak takkan mungkin dapat menunaikan hajat awak melalui ros itu.”


“Jadi cerita tentang ros itu hanya khabar angin?” Galen bertanya pantas.


“Tidak.” Yoru menjawab sepatah. Dia mengigit buah itu lagi.


“Jadi betul?”


“Apa yang betul?”


“Ros itu mampu menunaikan impian seseorang? Biarpun betapa mustahil impian itu?”


“Ros itu memang mampu menunaikan impian seseorang.”


“Tapi tadi kau cakap…”


“Maksud saya,” Yoru memotong kata-kata Galen dengan tegas. “Awak takkan dapat memetik ros itu. Lihat saja betapa tingginya gunung itu dan ros itu ada penjaganya.”


“Penjaga?”


“Nyawa awak mungkin menjadi taruhan kalau awak cuba mendapatkan ros itu. Baik awak lupakan saja.” Yoru bangun dari duduknya. Gadis itu menjilat jarinya persis seekor kucing.


Galen turut bangkit sambil menggaru kepala. “Aku tak boleh ikut nasihat kau. Ada satu hajat yang mesti aku tunaikan.”


“Hajat apa?” Mata Yoru berkilat dengan penuh ingin tahu.


“Rahsia.”


Yoru menarik muka masam dan Galen tersenyum melihat betapa comelnya gadis di hadapannya. “Kau ambillah buah-buahan ni. Aku pergi dulu ya.”


Galen menghulurkan sebungkus buah-buahan yang dibelinya di pasar sebentar tadi bagaimanapun Yoru tidak menyambutnya. Gadis itu merenung tepat ke mata Galen dan selepas beberapa ketika dia mengangkat kedua belah tangannya. Buat seketika, Galen mengagak Yoru ingin menerima pemberiannya namun lain pula yang jadi. Yoru menyentuh tangan Galen dan menggengamnya kuat.


“Saya nak ikut awak.”


Galen diam dan Yoru membisu. Minda Galen masih cuba mengisar maklumat yang diterimanya. Nak ikut? Apa maksudnya? Ikut?


“Hah?!” Akhirnya Galen bersuara. “Apa yang kau cakap ni?!”


“Saya-nak-ikut-awak!”


“Tak boleh!”


“Boleh!!”


“Dengar sini, aku ni lelaki tahu?”


Mata Yoru terkelip-kelip dan dia melirikkan senyuman yang sungguh polos. Galen menarik tangannya yang dari tadi digenggam Yoru. Sejuk sungguh tangan gadis itu. “Awak takkan apa-apakan saya kan?”


“Kenapa kau tanya soalan macam tu?!” Separuh gila Galen melayan gadis itu.


“Saya tahu seni bela diri jadi saya tak risau.”


“Masalahnya aku yang risau.” Galen mengeluh sambil menguak rambutnya. “Sudah. Jangan mengarut. Kau bukan anak kucing yang ikut sebarang orang. Pergi balik rumah.”


“Sebenarnya saya lari dari rumah.” Yoru menjawab pantas.


Terbuntang mata Galen mendengar lima patah perkataan yang muncul dari mulut Yoru. Apakah gadis ini sudah hilang kewarasannya?


“Saya selalu kena pukul dengan mak tiri saya. Jadi saya ingat lebih baik saya lari dan cuba cari abang kandung saya yang hilang dua tahun lalu.” Yoru menyentuh kesan calar di wajahnya dengan senyuman ceria yang dibuat-buat.


“Abang kandung?”


Yoru menunding ke arah gunung yang merupakan destinasi Galen. “Abang saya juga pernah cuba untuk memetik bunga ros itu dua tahun lalu. Tapi kemudian dia hilang tanpa kesan. Kalau saya ikut awak, mungkin saya dapat maklumat tentang abang saya. Saya takkan menyusahkan awak! Tolonglah benarkan saya ikut awak. Saya betul-betul nak berjumpa dengan abang saya semula!”


Mata Yoru bergenang air mata dan Galen mula berasa bulu romanya meremang apabila gadis itu mula tersedu. Tanpa disedari, dia menyentuh wajah Yoru dengan lembut dan mengesat air matanya. Yoru hanya diam saja tanpa sebarang reaksi.


“Baiklah. Ikutlah aku.”


Dengan mata yang basah dan bibir yang lembab, Yoru berkata sesuatu dengan suara yang serak, “Terima kasih, Galen.”


*



0 comments: